Tuesday, December 23, 2008

Arshavin Akan Berpindah



LONDON: Penyerang Russia yang semakin melakar nama, Andrei Arshavin hampir bermain untuk kelab Eropah selepas ejennya mengesahkan pemain kelab Zenit St Petersburg itu termasuk dalam senarai perpindahan bagi pertengahan musim.

Arshavin sebelum ini dikaitkan dengan Arsenal, Tottenham dan Real Madrid tetapi menurut laman web BBC semalam, egennya, Dennis Lachter, berkata Arshavin dan Zenit sudah bersetuju agar bintang itu mencari kelab barunya Januari ini. “Dia pasti akan berpindah kelab Januari ini atau pemain ini dan kelabnya sekarang akan kehilangan wang," katanya.

Lachter berkata, Zenit dan Andrei mengetahui masanya tiba untuk kedua-dua pihak mencari satu jalan penyelesaian dan kerjasama. Arshavin, 27, pada musim lalu dikatakan dipikat oleh Tottenham berikutan prestasi hebatnya ketika kejohanan Euro 2008.

Minggu ini pula, Pengarah Besar Zenit, Maxim Mitrofanov dipetik sebagai berkata, bayaran yang dituntut kelab itu untuk melepaskan Arshavin ialah sekitar 20 juta pound sterling dan berharap Arsenal akan tampil membuat tawaran. - AFP

Sunday, December 21, 2008

PIALA DUNIA 2018

.
THE HAGUE - Belanda dan Belgium yang membida satu penganjuran bersama Piala Dunia 2018, turut akan menjadi calon tuan rumah kejohanan 2022, kata persekutuan bola sepak Belanda, kelmarin.

Keputusan itu dibuat selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Kongres di Tokyo berkata, mereka turut akan membenarkan pembina bagi Piala Dunia 2018 supaya turut mencuba untuk kejohanan 2022 kerana mereka dari sebuah benua yang berbeza daripada pemenang 2018.

FIFA turut mengumumkan ia akan membuat satu keputusan mengenai tuan rumah kedua-dua kejohanan itu pada Disember 2010.

Seorang jurucakap persekutuan Belanda memberitahu agensi berita Belanda, KNVB: "Kami sudah pun meramalkan peluang ini. Jika kami mungkin tidak berjaya pada 2018, kami masih berpeluang akan datang."
- AFP

.

UNITED JUARAI PIALA KELAB DUNIA



YOKOHAMA (Jepun): Jaringan menakjubkan daripada Wayne Rooney pada minit ke-73 membolehkan Manchester United - yang beraksi dengan 10 pemain - menjulang Piala Kelab Dunia selepas memerah keringat menewaskan pasukan Equador, Liga de Quito (LDU), 1-0, semalam. United menjadi kelab Inggeris pertama memenangi kejuaraan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) selepas Liverpool gagal meraih kemenangan pada 2005 apabila mereka ditewaskan pasukan Sao Paulo dari Brazil.

Rooney berkata ia menjadi satu lagi kejayaan United dan nyata berasa amat gembira dapat menjaringkan gol kemenangan. “Saya amat gembira kami menang dengan 10 pemain. Adalah satu pencapaian besar untuk dimahkotakan sebagai kelab terbaik dunia dan kami semua bangga kerana kami bekerja keras untuk mengecapi kejayaan hari ini (semalam),” kata Rooney. Juara Eropah itu berjaya mengatasi saat sukar selepas pemain pertahanan mereka, Nemanja Vidic dibuang padang ketika aksi separuh masa kedua baru berlangsung empat minit kerana menyiku muka penyerang LDU, Claudio Bieler.


Kad merah dilayangkan kepada pemain antarabangsa Serbia itu menyaksikan United bangkit dan Rooney menjaringkan gol kemenangan di depan ribuan penyokong di Yokohama selepas Cristiano Ronaldo menyungkit cantik bola ke arahnya. Ronaldo yang menjadi mangsa layanan keras daripada juara Piala Libertadores itu, tetap menjadi duri dalam daging terhadap pasukan Equador itu ketika United mendominasi perlawanan yang disaksikan hampir 69,000 penonton.

Kapten United, Rio Ferdinand, berkata mereka berdepan kesukaran untuk menjaring lebih banyak gol ketika berdepan dengan corak permainan keras dan kawalan ketat pemain LDU. “Namun apa yang penting ia satu kejayaan yang hebat dan kami dapat bermain dengan baik dan menguasai perlawanan. Kami seharusnya mampu meraih lebih banyak gol tetapi sukar melepasi benteng lawan dan terpaksa banyak menggunakan hantaran jauh,” katanya.

Pasukan bimbingan Alex Ferguson memenangi perlawanan format awal yang menyaksikan perlawanan antara juara Eropah dan Amerika Selatan, apabila mereka menundukkan pasukan Brazil, Palmeiras pada 1999, juga dengan keputusan 1-0. - AFP

Saturday, December 20, 2008

United Ke Final

.
RONALDO (kanan) menanduk masuk gol kedua United ketika menentang Gamba Osaka dalam saingan separuh akhir Piala Kelab Dunia di Yokohama,


YOKOHAMA: Manchester United terlalu gagah buat Gamba Osaka dari Jepun apabila merakamkan kemenangan 5-3 untuk menempah tiket ke final Piala Kelab Dunia, semalam – dengan enam gol menyusul dalam tempoh 17 minit mendebarkan.

Tandukan separuh masa pertama Nemanja Vidic dan Cristiano Ronaldo, kedua-duanya menerusi sepakan sudut Ryan Giggs, meletakkan mereka pada landasan baik tetapi aksi babak kedua yang menghidupkan perlawanan itu. Gamba merapatkan jurang menerusi Masato Yamazaki pada minit ke-74 sebelum Wayne Rooney menerkam selang seminit kemudian.

Darren Fletcher menjadikannya 4-1 pada minit ke-78 sebelum Rooney menambah gol kedua beberapa minit selepas sepak mula. Menambah kepada aksi dramatik tersebut, Gamba meraih penalti apabila Gary Neville memegang bola dan Yasuhito Endo menyempurnakannya dengan baki lima minit.

Hideo Hashimoto kemudian menjadikannya 5-3 pada masa kecederaan. United kini perlu mengatasi pasukan Ecuador, Liga de Quito, Ahad ini untuk meraih salah satu mahkota yang belum dijuarai dalam sejarah kelab itu. - AFP

.

Real Nafi Untuk Pikat C. Ronaldo


MADRID: Presiden Real Madrid, Ramon Calderon menafikan wujudnya rundingan rahsia yang menyatakan Manchester United akan menjual Cristiano Ronaldo kepada juara Primera Liga itu pada penamat musim ini.


Akhbar harian Sepanyol, El Mundo melaporkan, pengarah Real sudah mendengar cakap-cakap mengenai dakwaan itu yang menghadirkan kemarahan pengurus United, Alex Ferguson yang berkata, dia ‘tidak akan menjual walaupun virus’ kepada kelab dari Madrid itu. “Ia sama sekali tidak betul bahawa ada perjanjian dengan Manchester United mengenai perkara itu, dakwaan yang membuatkan saya letih,” kata Calderon dalam laman web kelab berkenaan (http://www.realmadrid.com/).


“Isu itu sama sekali sudah mati dan kerana itulah saya tidak mahu lagi bercakap mengenainya,” katanya ketika menyertai acara FIFA di Tokyo apabila ditanya mengenai laporan El Mundo. Ronaldo enggan memberi ulasan mengenai Real Madrid kelmarin, selepas United menempatkan diri pada final Piala Kelab Dunia sambil berkata, dia gembira bersama kelab juara Liga Perdana Inggeris itu. “Manchester tidak mahu menjual Ronaldo kepada Real Madrid musim panas lalu,” kata Calderon. “Daripada saat itu, Real Madrid tiada lagi sasaran lain.” - Reuters

Tuesday, December 16, 2008

Cabaran Fabio Capello

.

Fabio Capello

LONDON: Fabio Capello percaya tanggungjawab beratnya baru bermula ketika dia cuba menakluki tugas mustahil bersama skuad England. Selepas permulaan yang kurang memberangsangkan, Capello mengakhiri tahun pertamanya sebagai jurulatih England dengan berjaya memuaskan hati penyokong skuad itu. Warga Itali itu hadir ketika moral skuad berkenaan begitu rendah selepas England gagal melayakkan diri ke Euro 2008, tetapi secara perlahan-lahan dia berjaya meningkatkan keyakinan anak buahnya sehingga memenangi empat perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia.

England ke tahap lebih tinggi daripada apa yang dicapai sejak sedekad lalu. ya sejak 12 bulan lalu, untuk melonjakkan England ke tahap lebih tinggi daripada apa yang dicapai sejak sedekad lalu.


Dalam dunia bola sepak England yang sukar dipuaskan hati peminatnya, kemenangan itu dianggap satu kejayaan dalam pengurusan Capello. Namun mengubah England daripada skuad kurang berjaya kepada unit yang bersatu sehingga memecahkan rekod tanpa kalah Croatia di gelanggang sendiri serta menjinakkan musuh tradisi, Jerman di Berlin, dianggap Capello sebagai sesuatu yang mudah.

Kini, bekas pengurus AC Milan dan Real Madrid itu tahu dia perlu membina daripada asas yang dibuatnya sejak 12 bulan lalu, untuk melonjakkan England ke tahap lebih tinggi daripada apa yang dicapai sejak sedekad lalu.

Capello tidak berminat untuk hanya mengambil bahagian di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Baginya yang sudah menikmati banyak kejayaan, kembali ke London dengan trofi adalah yang terbaik. “Pasukan ini kurang mantap selepas mereka gagal layak ke Euro tapi selepas ini kami berusaha keras,” katanya. “Ia adalah lebih mudah untuk maju apabila bermula dari bawah dan kemudian melonjak.

Kini, ia kian menjadi sukar. “Apabila anda bermula dari bawah, ia adalah mudah untuk bergerak ke depan. Sekarang kami perlu bersatu untuk mengambil langkah seterusnya. Ia akan menjadi lebih sukar,” katanya. - AFP
.
dipetik drp Berita Harian
.

Raul - Masih Ada Peluang

Raul Gonzalez

Pintu skuad Sepanyol masih terbuka MADRID:

Masih ada peluang untuk Raul, penjaring terbanyak Sepanyol sepanjang masa, untuk kembali ke skuad kebangsaan, kata jurulatih Vicente del Bosque. Penyerang Real Madrid berusia 31 tahun itu, penjaring 44 gol daripada 102 perlawanan untuk Sepanyol, digugurkan oleh jurulatih yang digantikan del Bosque, Luis Aragones pada lewat 2006 dan terlepas aksi kejayaan skuad itu menjuarai Kejohanan Eropah di Austria, Julai lalu.

“Saya keberatan untuk meletakkan halangan buat Raul dan memberitahunya dia tidak akan kembali ke skuad kebangsaan,” kata del Bosque kepada agensi berita EFE. “Dia akan terus bermain untuk Real Madrid dan kita lihat sama ada terdapat peluang untuknya kembali,” katanya. Raul mempamerkan aksi memberangsangkan untuk juara Sepanyol itu musim ini, menghasilkan enam gol daripada 15 perlawanan liga dan tiga dalam kempen Liga Juara-Juara, bagi menjadikan jaringannya dalam kejohanan itu setakat ini kepada 64.


Vicente del Bosque

Bagi posisi dalam skuad kebangsaan, Raul terpaksa bersaing dengan penyerang muda termasuk Fernando Torres dan David Villa, manakala baru-baru ini del Bosque menyerapkan penggempur Athletic Bilbao, Fernando Llorente dalam skuadnya. - Reuters


dipetik drp Berita Harian

.